Pasar tani di Negeri Sembilan dibuka berperingkat

SEREMBAN: Kesemua pasar tani di Negeri Sembilan akan dibuka secara berperingkat selepas ia ditutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Bagaimanapun, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan, Asmizal Jaafar berkata, pembukaan 20 buah pasar tani itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Tambahnya, bagi mematuhi SOP berkenaan, pihak FAMA negeri juga telah melaksanakan sistem penggiliran kepada peniaga di setiap pasar tani berkenaan supaya ia dapat mengekalkan jarak satu meter di antara gerai dengan gerai yang lain.

“Sistem itu bagi memastikan kesemua peniaga dapat menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa untuk menjana pendapatan. Tetapi, bagi lokasi yang tidak padat, tidak ada masalah untuk semua peniaga berniaga serentak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar program ‘Info On Wheel’ di Pasar Tani Taman Kemuning, Senawang di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad. 

Dalam pada itu, jelasnya, pendapatan peniaga pasar tani di negeri ini juga tidak terjejas kerana FAMA sentiasa membantu sepanjang tempoh PKP terutama daripada sudut aktiviti promosi dan pemasaran. 

“Ia bagi memastikan kesemua peniaga dapat menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa dan dapat menjana pendapatan. Daripada segi pasaran sayur-sayuran dan buah-buahan petani di bawah FAMA juga tiada masalah kerana permintaan sentiasa ada,” katanya. -UTUSAN ONLINE

The post Pasar tani di Negeri Sembilan dibuka berperingkat appeared first on Utusan Digital.