Lebih 24 jam lawan api

MELAKA – Lebih 24 jam bertungkus-lumus mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan seluas 24 hektar.

Itu tragedi besar yang ditempuh seramai 35 anggota termasuk enam pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam kejadian di Kampung Bukit Durian, Umbai di sini, hari ini. 

 Penolong Pengarah Operasi negeri, Penguasa Bomba ll Muhammad Izwan Arief Mat Noh berkata, kerja-kerja pemadaman dibuat bermula pukul 4.59 petang semalam dengan lebih 35 peratus daripada kawasan jenis tanah gambut berkenaan telah pun terbakar. 

Beliau berkata, pasukannya turut meminta bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambahkan kedalaman tali air berdekatan bagi membolehkan sumber air itu disedut menggunakan pam pengangkutan. 

“Panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.46 dan setiba di lokasi, kita membuat penilaian risiko kawasan meliputi 16 hektar dan mendapati 35 peratus daripada kawasan itu telah terbakar. 

“Pasukan kami bertungkus-lumus mengawal kebakaran secepat mungkin bagi mengelak kejadian ‘api lompat’ yang  berisiko berlaku di kawasan lain dengan keluasan kira-kira 24 hektar disebabkan cuaca terlalu panas dan angin kuat di kawasan ini. 

“Kawasan kebakaran berdekatan dengan tali air yang boleh dijadikan sumber utama, namun, kedalaman yang diperlukan untuk menyedut air tidak cukup, jadi, kami meminta bantuan pihak JPS menambahkan kedalaman sehingga 0.9 meter supaya air memenuhi kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di lokasi kejadian.

Tambahnya lagi, antara perkara lain yang diambil kira pasukannya adalah risiko penglihatan pengguna jalan raya disebabkan kawasan kebakaran terletak kira-kira hanya 300 meter dari lebuh raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ). 

“Kawasan ini sangat dekat dengan laluan utama AMJ dan kita bimbang sekiranya pembakaran ini tidak dikawal dengan cepat, asap kebakaran akan mengganggu penglihatan pengguna jalan raya. 

“Bagaimanapun, setakat ini, kebakaran ini tidak membahayakan penduduk setempat dengan jarak lokasi dengan rumah terdekat adalah kira-kira 500 meter,” ujarnya.

Jelasnya lagi, selain faktor cuaca panas, operasi pemadaman itu turut mengambil masa yang panjang disebabkan faktor tanah jenis gambut. 

“Tanah jenis gambut ini, walaupun kita lihat kebakaran telah berjaya dipadamkan pada bahagian permukaan, namun, hakikatnya api itu masih ada di bahagian dalam tanah dan boleh kembali menjadi marak sekiranya tidak dipadamkan sepenuhnya. 

“Kita jangkakan kebakaran ini dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 24 jam lagi, namun ia bergantung kepada cuaca,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kebakaran itu berpunca daripada pembakaran terbuka yang dilakukan oleh orang awam bagi membersihkan semak di kawasan tersebut. 

Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, apatah lagi pada waktu musim panas ini yang boleh menyebabkan api merebak dengan cepat. 

Operasi itu melibatkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Bukit Katil, Ayer Keroh dan Jasin. 

Turut memberi bantuan adalah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.  -UTUSAN ONLINE

The post Lebih 24 jam lawan api appeared first on Utusan Digital.