Kompaun RM10,000 hanya kesalahan berulang

JELI: Nilai baharu kompaun RM10,000 yang berkuat kuasa 11 Mac ini hanya akan dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) berulang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kompaun tersebut akan turut terpakai ke atas mereka yang menjadi punca tercetusnya kluster baharu Covid-19 di satu-satu kawasan.

Menurut beliau, nilai kompaun itu bukan dikenakan ke atas semua kesalahan pelanggaran SOP.

“Perlu diingat nilai ini ditentukan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Polis hanya menguatkuasakan undang-undang, dan kami tidak boleh menerima bayaran kompaun tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang baharu di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Media sebelum ini melaporkan orang ramai yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac.

Kompaun RM50,000 akan dikenakan bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama.

Tindakan itu  mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet sehingga ada yang kurang setuju dengan tindakan tersebut.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid memberitahu, pihaknya akan melakukan semakan rekod terlebih dahulu untuk melihat sama ada individu tersebut pernah dikompaun atau tidak sebelum ini.

Katanya, jika individu itu mempunyai rekod pelanggaran SOP, polis akan membuat cadangan supaya kompaun RM10,000 dikenakan ke atas pesalah tersebut. – UTUSAN

The post Kompaun RM10,000 hanya kesalahan berulang appeared first on Utusan Digital.