Kenakan kadar kompaun yang munasabah – Armada Bersatu

PETALING JAYA: Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada Bersatu) menggesa pihak berkuasa supaya mengenakan kadar kompaun yang munasabah.

Ini selepas kadar denda akan dinaikkan tidak melebihi RM10,000 yang akan berkuat kuasa pada 11 Mac ini menerusi pindaan pada Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021. 

Bagaimanapun, Pengerusi Biro Undang-Undang Armada Bersatu, Mohamad Siddiq Azani berkata, menerusi pindaan tersebut, tiada kadar tetap denda yang dikenakan namun ia tidak boleh melebihi RM10,000.

“Justeru, Armada menyeru pihak berkuasa agar mengenakan kompaun pada kadar yang munasabah mengikut kesesuaian tempat dan keadaan, selaras dengan niat dan matlamat untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohamad Siddiq mengingatkan orang ramai yang dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa supaya membuat rayuan di mahkamah sekiranya tidak mampu untuk membuat bayaran kompaun tersebut.

“Sebagai contoh, sekiranya seseorang dikompaun sebanyak RM1,000, dia masih boleh membuat rayuan di mahkamah dan mahkamah, atas budi bicara boleh memberi pengurangan denda tersebut bergantung kepada keadaan khas dan berdasarkan kepada fakta kes. 

“Armada berharap pihak berkuasa juga dapat menggunakan budi bicara sebelum mengenakan kompaun kepada orang awam bersesuaian dengan keadaan dan lokasi,” katanya.

Tambah beliau, mana-mana pihak yang memerlukan nasihat lanjut boleh menghubungi Biro Undang-Undang Armada Bersatu menerusi Facebook Armada Bersatu Malaysia. – UTUSAN ONLINE

The post Kenakan kadar kompaun yang munasabah – Armada Bersatu appeared first on Utusan Digital.