Kanak-kanak terkandas setahun di Karimun, Indonesia pulang esok

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki yang terkandas di Tanjung Balai, Karimun, Indonesia sejak setahun lalu akibat pandemik Covid-19 akan dibawa pulang ke negara ini, esok.

Proses membawa pulang Ahmad Radi Djonnaidi, 12, dari Kampung Pasir, di sini diusahakan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Johor dan Alumni 4B Negeri Johor dengan kerjasama pihak Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Indonesia.

Pengerusi DMDI Johor, Datuk AbdLah@Abdullah Awang berkata, kanak-kanak itu djangka tiba di Terminal Feri Stulang Laut di sini pada pukul 12 tengah hari.

“Ahmad Radi akan tiba bersama-sama tiga lagi rakyat Malaysia dari Melaka yang turut terkandas di republik itu yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Bengkalis, Indonesia.

“Kami bantu pembiayaan pulang Ahmad Radi dengan kerjasama Konsulat Malaysia di Pekan Baru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdlah berkata, sebelum ini Ahmad Radi dihantar keluarganya di sini ke negara republik itu untuk dimasukkan ke sebuah sekolah pondok pesanteren di sana.-K! ONLINE

The post Kanak-kanak terkandas setahun di Karimun, Indonesia pulang esok appeared first on Kosmo Digital.