Ingkar SOP naik balik kepada 432 individu

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam naik semula setelah jatuh sehari sebelumnya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 432 individu ditahan semalam berbanding hanya 326 diberkas kelmarin dan 460 yang dicekup pada Rabu lalu.

“Daripada jumlah itu, 414 dikompaun, manakala 18 lagi direman dengan kes paling tinggi ialah gagal sedia alat rekod butiran diri sebanyak 108,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Diikuti gagal jarak (106), tiada pelitup muka (96), rentas kawasan tanpa izin (51), keluar rumah tanpa alasan kukuh (42), aktiviti perjudian (18), buka premis lebih masa (10), dan lain-lain (1).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 78,831 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 5,214 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, 15,175 anggota itu semalam memantau 6,207 restoran, 4,397 pasar raya, 4,130 bank, 4,113 rumah ibadah, 2,604 penjaja, 2,604 pasar awam dan 1,504 kilang.

Turut dipantau ialah 1,633 tempat riadah serta 812 pejabat kerajaan selain 1,469 terminal pengangkutan darat, 242 terminal pengangkutan air dan 134 terminal pengangkutan udara.

Seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan 10 lagi PATI lain diusir semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.

“Sebanyak sebuah kenderaan darat dan dua bot dirampas selain 38 bot atau kapal dicurigai dikesan berdekatan perairan negara menerusi enam aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 467 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 47 dilaksanakan polis.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 95 operasi sanitasi awam telah dilaksanakan di negara ini semalam meliputi 29 zon merah, 11 zon jingga, 10 zon kuning dan satu zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 282 anggota bomba selain 180 anggota pihak berkuasa tempatan dan dua lagi dari agensi lain dengan penggunaan 51 buah jentera bomba.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,318 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,084 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 77 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 749 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 123,622 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 476 peruncit, 154 pemborong dan 29 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,594 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan 12 premis diberikan nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut membuat pemeriksaan di 16 tapak binaan seluruh negara semalam dengan kesemua premis beroperasi didapati mematuhi SOP. -UTUSAN ONLINE

The post  Ingkar SOP naik balik kepada 432 individu appeared first on Utusan Digital.