Gaji Salah sekali ganda atasi Mane

LONDON: Mohamed Salah dan Sadio Mane mungkin sama hebat di jentera serangan Liverpool, namun bintang Mesir tersebut menerima gaji sekali ganda mengatasi rakan sepasukannya itu.

Salah muncul penjaring terbanyak kelab selama tiga musim tetapi Mane juga memberi sumbangan besar kepada Reds.

Gandingan tersebut berkongsi trofi Kasut Emas 2019 selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, namun Salah dikatakan menikmati 200,000 pound (RM1.13 juta) seminggu, jauh lebih tinggi daripada Mane.

Menurut akhbar The Sun, Mane hanya menerima 100,000 pound (RM565,000) seminggu, manakala Roberto Firmino menikmati 180,000 pound (RM1.02 juta).

Tonggak pertahanan, Virgil van Dijk turut menerima 180,000 pound seminggu untuk menjadikannya penerima gaji ketiga tertinggi di Anfield.

Thiago Alcantara yang dibawa masuk dari Bayern Munich awal musim ini muncul penerima gaji kedua tertinggi dengan 192,308 pound (RM1.09 juta) seminggu.

Kapten Reds, Jordan Henderson dan naib ketua pasukan, James Milner masing-masing menerima 140,000 pound (RM790,000) seminggu.

Bagaimanapun menurut Gazzetta dello Sport, Liverpool menawarkan kontrak baharu yang bakal menjadikan bintang Senegal itu penerima gaji tertinggi.

Kontrak lima tahun setengah yang ditawarkan kepada Mane tahun lalu bakal membolehkannya meraih gaji tahunan 11.5 juta pound (RM65 juta) atau 220,000 pound (RM1.24 juta) seminggu.

Begitupun kontrak tersebut hanya akan berkuatkuasa pada 2023. Itu bermakna, jika Mane bersetuju untuk menurunkan tanda tangannya,  dia akan terus menerima 100,000 pound seminggu sehingga tamat musim 2022/2023. – AGENSI

The post Gaji Salah sekali ganda atasi Mane appeared first on Utusan Digital.