Bas ekspres bawa pesakit Covid-19 rempuh Plaza Tol UPM

SEPANG: Sebuah bas ekspres membawa pesakit Covid-19 merempuh Plaza Tol UPM dalam satu kemalangan jalan raya di sini.

Kejadian yang berlaku pukul 2 petang itu mengakibatkan bas ekspres jenis Nissan itu mengalami kerosakan pada bahagian cermin hadapan, bumper dan pintu bahagian pemandu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku selepas pemandu bas, gagal mengawal kenderaan.

“Akibat kemalangan itu, bas yang dipandu lelaki berusia 41 tahun itu terbabas sebelum merempuh  struktur Plaza Tol UPM di lorong Touch n Go,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, seramai lapan penumpang yang berada dalam bas itu mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.

“Manakala, pemandu bas berkenaan hanya mengalami kecederaan pada kaki,” katanya.

Menurut beliau, sebelum kejadian kemalangan berlaku, bas itu dalam perjalanan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

“Bas ekspres berkenaan membawa pesakit Covid-19 Kluster Changkat Jong, Perak ke MAEPS. Terdapat seramai 40 penumpang dalam bas berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, beberapa pemeriksaan lanjut turut dilakukan ke atas pemandu bas berkenaan dan mendapati lelaki berkenaan positif Covid-19 selain negatif bagi ujian air kencing.

Wan Kamarul Azran berkata, kes akan disiasat dibawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE

The post Bas ekspres bawa pesakit Covid-19 rempuh Plaza Tol UPM appeared first on Utusan Digital.