Vaksin: Gagal hadir boleh dikenakan tindakan

PUTRAJAYA: Tindakan boleh dikenakan ke atas individu yang terlepas temu janji untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pembaziran boleh berlaku sekiranya individu yang sudah ditetapkan temu janji tidak hadir kerana vaksin terbabit tidak boleh disimpan dan perlu digunakan dalam tempoh enam jam.

Katanya, individu yang sudah menerima tarikh dan masa akan sentiasa dimaklum melalui notifikasi supaya tidak terlepas suntikan vaksin untuk mereka.

“Sebenarnya mereka yang terlepas temu janji boleh ambil tindakan, di negara lain kalau mereka memotong jadual temujanji juga boleh ambil tindakan, denda dan sebagainya.

“Kita harapkan rakyat Malaysia patuh namun, bagi memastikan tiada pembaziran berlaku, akan adanya senarai menunggu membabitkan anggota barisan hadapan seperti yang dilakukan negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sesi Libat Urus Bersama Ketua Pengarah Kesihatan Bersama Media Siri 4/2021 : Perlaksanaan Program Imunisasi Covid-19 secara maya, hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada tindakan boleh diambil ke atas mereka yang sengaja tidak hadir temu janji suntikan vaksin tanpa alasan kukuh.

Sesi libat urus itu dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim.

Ia turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong; Timbalan Pengarah Cawangan Pengurusan Farmasi Logistik Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Norhuda Mohd. Tajuddin serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Maheshwara Rao A/L Appannan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Maheswara berkata, individu yang sudah ditentukan tarikh temu janji akan menerima notifikasi melalui aplikasi MySejahtera melibatkan tujuh hari dan tiga hari sebelum diberikan suntikan.

“Pengguna akan diberi peringatan untuk mengesahkan kehadiran terhadap tarikh yang diberikan.

“Jika individu itu tidak boleh hadir pada tarikh itu, dia perlu menjawab ‘Ya’ atau ‘Tidak’ bagi mengesahkan kehadirannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post Vaksin: Gagal hadir boleh dikenakan tindakan appeared first on Utusan Digital.