Tindakan menanti penghasut tolak vaksin

ARAU: Polis memberi amaran mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk kumpulan antivaksin yang menghasut orang ramai menolak suntikan vaksin Covid-19 khususnya dalam media sosial.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, individu terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Katanya, tindakan juga boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan penyebaran hasutan tersebut dalam talian seperti media sosial.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada golongan terbabit yang boleh menganggu usaha kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

“Malah, kita juga sudah memanggil beberapa individu untuk memberi kenyataan berhubung kesalahan tersebut.

“Namun begitu, belum ada lagi tindakan atau tangkapan yang telah dibuat sehingga kini,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan makanan dari Persatuan Wartawan Perlis (PWP) di Sekatan Jalan Raja (SJR) Ulu Pauh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatan kuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad; Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof: Presiden PWP, Mohamad Asri Shafii dan ahli-ahli persatuan wartawan itu.

Tambah Surina, orang ramai dinasihatkan untuk tidak ragu-ragu untuk menerima suntikan vaksin terutamanya selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berbuat demikian, semalam.

“Kita lihat Perdana Menteri sudah ambil suntikan dan beliau berada dalam keadaan yang baik sahaja dan tidak sebab kita menolaknya,” katanya.

Sementara itu, Surina menyambut baik sumbangan dan lawatan PWP ke tiga SJR di negeri ini termasuk SJR Jelempok dan Sanglang.

Rabu lalu, kumpulan pertama dos vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech tiba di Perlis dengan pemberian vaksin di negeri ini melibatkan tiga fasa iaitu pertama membabitkan kira-kira 8,000 petugas barisan hadapan merangkumi petugas kesihatan, polis, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan guru bermula bulan ini hingga April.

Fasa kedua yang bermula April hingga Ogos pula melibatkan kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas dan mempunyai penyakit kronik iaitu kira-kira 94,000 individu.

Seterusnya fasa ketika melibatkan kira-kira 100,000 penduduk di negeri ini yang terdiri daripada golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas. -UTUSAN ONLINE

The post Tindakan menanti penghasut tolak vaksin appeared first on Utusan Digital.