Suspek lari dari polis diberkas

PETALING JAYA : Polis menahan salah seorang suspek yang melarikan diri daripada diberkas polis di Bulatan Sierramas, di sini petang tadi.

Lelaki berusia 35 tahun itu diberkas di Desa Aman beberapa jam selepas dia bersama seorang lagi rakan sejenayahnya melanggar beberapa kereta sehingga memaksa polis melepaskan tembakan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan yang ditinggalkan menemukan heroin ditinggalkan suspek.

“Seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Bob Mahsing berusia 40-an kini sedang diburu polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ezanee, permohonan reman akan dilakukn esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 307, 427, 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan, Senjata Berbahaya 1958.

Terdahulu, tular di laman sosial rakaman dua anggota polis cuba menahan suspek di persimpangan lampu isyarat.

Walaupun diarahkan menyerah, suspek tetap cuba meloloskan diri dengan melanggar kereta dan lori.-UTUSAN ONLINE

The post Suspek lari dari polis diberkas appeared first on Utusan Digital.