Ramai ulama di luar negara pun telah ambil vaksin

PUTRAJAYA: Kumpulan yang masih tegar dengan pendirian antivaksin diseru melihat contoh ramai ulama di seluruh dunia terutama di negara-negara Arab yang sudah menerima vaksin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau sendiri malah menerima banyak gambar daripada mereka yang telah disuntik.

“Saya melihat mereka (ulama luar negara) pun sanggup mengambil suntikan vaksin terutama di Arab Saudi dan Mesir tanpa banyak masalah besar demi kebaikan umat Islam,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas hadir menerima dos pertama vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya di Presint 11 di sini, hari ini.

Turut menerima suntikan itu dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di tempat sama ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Terdahulu, Zulkifli menjadi khatib dan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Putra di sini yang turut berkisar isu kesedaran vaksin itu dengan tajuknya ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’.

Menerusi khutbah yang juga disiarkan secara langsung melalui TV1 RTM itu, beliau menyeru jemaah tidak terpedaya dengan maklumat salah sengaja cuba disebar golongan antivaksin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan ramai tokoh agamawan di rantau Asia Barat yang menerima suntikan itu membuktikan inisiatif dilancarkan pihak kerajaan amat berfaedah.

“Mereka mahu memberi keyakinan kepada umat Islam di seluruh dunia bahawa pengambilan vaksin sebenarnya tiada masalah bahkan memberi kekuatan kepada tubuh sendiri,” tegasnya.

Justeru, beliau dalam nada nasihat menyeru masyarakat Islam yang terpengaruh dengan diayah golongan antivaksin agar berfikir terbaik demi agenda kebaikan masyarakat bersama.

Beliau turut memberi contoh pelbagai pandangan panel dalam program Forum Perdana Ehwal Islam disiarkan TV1 RTM semalam bagi memberi pencerahan jitu mengenai isu panas itu.

“Kepada yang berpandangan vaksin tidak perlu, lihat secara mendalam dan anda diajak agar berlapang dada buat terbaik untuk diri, keluarga dan rakyat keseluruhannya,” tegas Zulkifli. – UTUSAN ONLINE

The post Ramai ulama di luar negara pun telah ambil vaksin appeared first on Utusan Digital.