Pemain naturalisasi mampu naikkan kualiti ragbi Malaysia

PETALING JAYA: Kehadiran pemain naturalisasi dalam skuad ragbi negara mampu meningkatkan prestasi dan kualiti Malaysia di persada antarabangsa.

Pengendali skuad ragbi tujuh sebelah negara, Saizul Hafifi Md. Nor berkata, pendekatan itu sudah digunakan beberapa negara Asia lain termasuk Jepun yang kini menjadi antara kuasa besar di rantau ini.

Katanya, Jepun antara yang sudah mempraktikkan pendekatan itu dengan mengambil pemain naturalisasi seawal usia 18 tahun dari Fiji untuk belajar di universiti tempatan dan pada masa yang sama diserapkan ke dalam program pasukan ragbi mereka.

“Itu idea yang bagus dan jika kita boleh buat perkara sama ia dapat memperkuatkan skuad kebangsaan negara. Sama seperti yang bola sepak lakukan mengambil pemain naturalisasi.

“Selain Fiji, Samoa dan New Zealand juga merupakan pilihan terbaik untuk meningkatkan kualiti skuad kebangsaan, bangaimanapun, perkara itu memerlukan perancangan jangka panjang,” katanya.

Sebelum ini Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) berhasrat untuk mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa seterusnya berada sebaris dengan pasukan elit dunia lain.

Inisiatif berkenaan bukanlah hanya ‘cakap kosong’ apabila KRM akan melaksanakan paling awal hujung tahun ini dengan mengambil pemain dari Fiji.

The post Pemain naturalisasi mampu naikkan kualiti ragbi Malaysia appeared first on Utusan Digital.