Pelajar masuk ‘universiti’ belajar PdPR

KANGAR: Sekumpulan 18 pelajar sekolah menengah berpeluang mengikuti sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) di makmal komputer Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini hari ini.

Pelajar tersebut yang terdiri dari 10 buah sekolah di sekitar negeri ini merupakan dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan dan berdepan dengan masalah untuk mengikuti sesi PdPR secara dalam talian.

Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, program tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial universiti, pensyarah dan tenaga pengajar FTKK bagi mengatasi masalah keciciran pelajar dalam mengikuti proses pembelajaran disebabkan kekangan daripada aspek kemampuan fizikal serta kewangan.

Katanya, pada asalnya, program tersebut telah direncanakan lebih awal namun selepas Perlis termasuk dalam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 22 Januari lalu, aktiviti berkenaan terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, sebaik sahaja PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dilaksanakan di negeri ini bermula 19 Februari lalu, Unimap terus menggerakkan kembali inisiatif ini yang turut mendapat kerjasama dari Jabatan Pendidikan negeri, Unit Pembangunan Komuniti dan penduduk setempat.

“Meskipun pengumuman sekolah dibuka telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan namun program ini akan tetap diteruskan terutama membabitkan pelajar sekolah menengah yang hanya akan mula bersekolah secara fizikal pada bulan April nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, R Badlishah berkata, kekuatan akademik dan penyelidikan Unimap merupakan antara aspek yang digemblengkan bagi menyokong agenda nasional University For Society (U4S) iaitu untuk manfaat dan pembangunan komuniti.

Jelasnya, selain daripada sumbangan berbentuk produk, Unimap sebelum ini juga telah terlibat dalam 16 projek penyelidikan yang bersifat pemindahan ilmu, manakala 62 program lagi dilaksanakan bagi tujuan pengupayaan komuniti.

“Unimap juga berjaya melibatkan 69 industri dan agensi yang bersama-sama menyumbang kepada kelestarian komuniti, dengan menyaksikan penyertaan 1,863 ahli masyarakat.

“Secara keseluruhan, sepanjang tahun 2020 lalu, seramai 2,217 orang staf dan pelajar universiti telah terlibat dalam program universiti untuk komuniti dan ia merupakan permulaan yang baik dalam membantu komuniti mencapai kelestarian sebagai mana yang digariskan dalam agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post Pelajar masuk ‘universiti’ belajar PdPR appeared first on Utusan Digital.