Pangsapuri Seri Perantau ada CF-PKNS

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan wakil penduduk Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang bahawa perumahan itu tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).

PKNS dalam kenyataannya berkata, isu berhubung Pangsapuri Seri Perantau tidak mempunyai Sijil CF dan geran strata adalah tidak benar.

“PKNS memandang serius perkara ini dan semakan di pangkalan data kami mendapati bahawa isu CF yang dibangkitkan telah selesai pada 2006.

“Penduduk juga mendiami pangsapuri tersebut manakala proses permohonan hak milik strata sedang dilaksanakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, PKNS turut mengingatkan pihak yang terlibat untuk menyemak dan merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“PKNS sentiasa komited dalam memastikan keselamatan setiap projek yang dibangunkan bagi keselesaan semua pelanggan kami,” kata kenyataan itu lagi.

Utusan Malaysia semalam melaporkan seramai 1,656 pemilik rumah pangsapuri itu kesal dengan tindakan berdiam kerajaan negeri berhubung permohonan isu penyelesaian hak milik strata dan CF sejak tahun lalu.

Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri Seri Perantau (JBPSP), Syawal Mohd. Sabtu berkata, pemilik rumah pangsapuri itu telah menghantar surat permohonan penyelesaian tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan daripada kerajaan negeri.

“Pangsapuri ini dibina sejak 18 tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut pemilik gagal mendapatkan geran hak milik strata. Ini menyukarkan pemilik untuk menjual atau memindah milik rumah.

“Kegagalan dan kecuaian pihak pemaju iaitu PKNS menyelesaikan masalah tersebut dan ini adalah satu penganiayaan kepada kami,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

The post Pangsapuri Seri Perantau ada CF-PKNS appeared first on Utusan Digital.