MRCB rugi RM152.9 juta tahun kewangan 2020

PETALING JAYA – Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) merekodkan perolehan sebanyak RM1.2 bilion dan kerugian sebelum cukai berjumlah RM152.9 juta pada 2020, berikutan peruntukan kemerosotan RM175.3 juta melibatkan projek pembinaan  akibat pandemik.

Tanpa peruntukan tersebut, Kumpulan akan mencatatkan keuntungan RM22.4 juta pada 2020.

Sejak aktiviti pembinaan dimulakan semula, MRCB telah melihat peningkatan keuntungan, mencerminkan kebolehannya untuk menjana lebih banyak pendapatan ketika proses pembinaan kembali beroleh momentum, meskipun pada kadar yang lebih rendah berbanding sebelum pandemik.

Ia dapat dilihat daripada prestasi lebih baik pada separuh kedua 2020, yang mana Kumpulan merekodkan perolehan sebanyak RM606.5 juta dan untung sebelum cukai (PBT) berjumlah RM42.2 juta, berbanding perolehan RM592.9 juta dan PBT RM7.3 juta, tidak termasuk rosot nilai pada separuh pertama 2020.

MRCB dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, bahagian pembangunan harta  dan pelaburan mencatatkan kenaikan hasil sebanyak 12 peratus kepada RM635.1 juta, sebahagian besar daripadanya disebabkan oleh pengiktirafan pendapatan dari projek Carnegie 1060 di Melbourne, Victoria.

Jelasnya, terdapat kelewatan dalam penyelesaian kewangan dan penurunan jualan disebabkan wilayah Victoria melaksanakan kawalan pergerakan lebih ketat sepanjang separuh tahun kedua 2020.

“Bahagian ini menjual hartanah bernilai RM187.3 juta dan memiliki jualan belum dibil sebanyak RM1.1 bilion pada hujung 2020.

“Bahagian kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar pula mencatatkan pendapatan sebanyak RM514.9 juta, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pembangunan Ibu Pejabat Kumpulan Wang Ssimpanan Pekerja yang baru di Kwasa Sentral, Pakej CB2 lebuh raya DASH, Pakej CA2 lebuh raya SUKE dan Pakej V210 MRT2,” katanya.

The post MRCB rugi RM152.9 juta tahun kewangan 2020 appeared first on Kosmo Digital.