Maqis rampas 27 tan ikan cencaru 

PASIR GUDANG: Sebanyak 27 tan ikan cencaru bernilai RM113,603 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor dalam  sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Pasir Gudang di sini kelmarin. 

Pengarah Maqis negeri, Nur Afifah A. Rahman berkata, ikan tersebut dikesan pihaknya ketika membuat pemeriksaan rutin ke atas sebuah kontena pada pukul 5 petang.

Menurut beliau, penguat kuasa Maqis mendapati 27,000 kilogram ikan cencaru dibawa masuk dari Vietnam itu didapati tidak sepadan dengan permit import yang diikrarkan. 

“Kesemua barang dagangan bernilai RM113,603 itu ditahan untuk tindakan lanjut kerana telah mengemukakan dokumen yang tidak tepat iaitu barang dagangan tersebut tidak sepadan dengan permit import,” katanya dalam kenyataan semalam.

Nur Afifah berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan permit, lesen, perakuan atau dokumen lain yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kata beliau, Maqis komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara. – UTUSAN

The post Maqis rampas 27 tan ikan cencaru  appeared first on Utusan Digital.