Mahu pinjam RM200,000, wang sendiri RM250,000 lebur

KEPALA BATAS: Seorang ejen insurans di sini bukan sahaja tidak mendapat wang sebanyak RM200,000 yang mahu dipinjamnya untuk mengubah suai rumah, malah wang miliknya sebanyak RM250,000 pula lebur ditipu sindiket pinjaman tidak wujud. 

Mangsa lelaki berusia 50 tahun itu mula terjerat dengan sindiket terbabit selepas melihat tawaran pinjaman wang yang menggunakan nama sebuah bank popular ketika melayari internet baru-baru ini. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM200,000 telah meninggalkan nombor telefonnya pada iklan terbabit. 

“Dia kemudiannya menerima kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu kononnya kakitangan syarikat yang menawarkan pinjaman peribadi. 

“Mangsa yang bersetuju membuat pinjaman bagaimanapun diminta membayar sejumlah wang termasuk insurans untuk memproses pinjaman itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Menurut Noorzainy, mangsa yang teruja kerana pinjamannya telah diluluskan tidak menyedari sedang dijerat sindiket apabila membuat sebanyak 25 transaksi memasukkan wang ke dalam 18 akaun diberikan dalam tempoh beberapa hari. 

“Dia telah menyerahkan wang simpanan serta yang dipinjam daripada keluarga dan rakan-rakan sebanyak RM252,074 kepada sindiket sebelum menyedari ditipu apabila suspek berterusan memintanya membuat pembayaran tambahan. 

“Mangsa turut menyemak daripada pihak bank sebelum diberitahu perkhidmatan itu tidak ditawarkan oleh bank terbabit dan tampil membuat laporan polis,” katanya. 

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

The post Mahu pinjam RM200,000, wang sendiri RM250,000 lebur appeared first on Utusan Digital.