Mahu pinjam RM200,000, lesap RM250,000

SEBERANG PERAI – Hasrat seorang ejen insurans di Kepala Batas di sini membuat pinjaman peribadi sebanyak RM200,000 untuk mengubahsuai rumah tidak kesampaian bahkan terpaksa menggigit jari apabila kerugian lebih RM250,000 selepas wangnya lesap dilarikan sindiket baru-baru ini.

Mangsa, lelaki berusia 50 tahun mula terjerat dalam sindiket terbabit selepas menemui tawaran pinjaman wang yang menggunakan nama sebuah bank popular ketika melayari internet baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM200,000 telah meninggalkan nombor telefonnya pada iklan terbabit.

“Dia kemudiannya menerima kiriman aplikasi WhatsApp daripada individu kononnya kakitangan syarikat yang menawarkan pinjaman peribadi.

“Mangsa yang bersetuju membuat pinjaman telah diminta membayar sejumlah wang termasuk insurans untuk memproses pinjaman itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang teruja kerana pinjamannya telah diluluskan tidak menyedari dia sebenarnya sedang dijerat sindiket apabila telah membuat 25 transaksi memasukkan wang ke dalam 18 akaun diberikan dalam tempoh beberapa hari.

“Dia telah menyerahkan wang simpanan serta yang dipinjam daripada keluarga dan rakan-rakan sebanyak RM252,074 kepada sindiket sebelum sedar dia ditipu apabila suspek berterusan memintanya membuat pembayaran tambahan.

“Mangsa turut menyemak daripada pihak bank sebelum diberitahu bahawa perkhidmatan itu tidak ditawarkan oleh bank terbabit dan tampil membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, mangsa mahu membuat pinjaman itu kerana mahu membuat pengubahsuaian rumah dan kegunaan peribadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -K! O

The post Mahu pinjam RM200,000, lesap RM250,000 appeared first on Kosmo Digital.