Lingard jadi rebutan Leicester, West Ham

LONDON – Leicester City tidak ingin melepaskan peluang untuk mendapatkan Jesse Lingard daripada West Ham United pada jendela perpindahan akan datang selepas menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

West Ham juga sudah tentu mahu mendapatkan khidmat pemain pinjaman daripada Manchester United itu secara tetap selepas dia berjaya meledak tiga gol dalam empat perlawanan EPL bersama The Hammers.

Pemain tengah West Ham, Declan Rice mengakui, gembira dengan kehadiran Lingard yang secara tidak langsung berjaya membantu pasukan itu melakar banyak kemenangan sehingga melonjakkan mereka ke tangga keempat EPL ketika ini.

“Saya sangat gembira Lingard berada di sini. Mudah-mudahan dia kekal lebih lama bersama kami termasuk musim depan.

“Dia seorang pemain yang sa­ngat bagus dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila bola berada di kakinya. Rugi sekiranya West Ham melepaskan Lingard me­nyertai pasukan lain,” katanya.

Kelincahan Lingard, 29, ­telah menarik perhatian pengurus Leicester, Brendan Rodgers yang menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya pada musim depan.

Jika berhasil mendapatkan Lingard, kehadiran pemain antarabangsa England itu mampu membentuk gandingan mantap bersama duo berbahaya The Foxes, James Maddison dan Jamie Vardy di bahagian serangan.

Bagaimanapun, Lingard dikatakan berharap dapat kembali menyertai United meskipun hasratnya mungkin tergendala kerana terpaksa bersaing dengan pemain-pemain seperti Marcus Rashford, Mason Greenwood dan Anthony Martial. – AGENSI

The post Lingard jadi rebutan Leicester, West Ham appeared first on Kosmo Digital.