Lima nelayan terkandas di Pulau Redang

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan lima nelayan warga tempatan yang terkandas di perairan Pulau Redang, di sini semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot dinaiki tekong dan awak-awak berusia antara 33 hingga 47 tahun itu dikatakan mengalami kerosakan kira-kira 15 batu nautika dari pulau peranginan berkenaan.

“Bot Penggalang 17 segera diarahkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 4.45 petang.

“Mangsa berjaya ditemukan sejam kemudian dan kesemua mereka dibawa ke Pulau Redang bersama bot yang ditunda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi berkata, Maritim Malaysia sentiasa bersiap-sedia memberikan perkhidmatan
dan bantuan kecemasan kepada masyarakat terutama komuniti laut yang berdepan musibah.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang awam agar melaporkan sebarang kecemasan dan kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia Terengganu di talian 09-6224357. – UTUSAN ONLINE

The post Lima nelayan terkandas di Pulau Redang appeared first on Utusan Digital.