Lelaki belum sempat dapatkan rawatan rebah, meninggal dunia

KOTA KINABALU – Sorang lelaki warga asing rebah sebelum disahkan meninggal dunia berhampiran sebuah klinik swasta dalam kejadian di pekan Tanjung Aru semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 10.30 pagi itu, lelaki berusia 51 tahun terbabit dikatakan mengaku sakit dada dan sukar bernafas sebelum meminta bantuan rakannya untuk menghantarnya ke klinik di pekan berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tiba-tiba rebah dan terus tidak sedarkan diri ketika sampai berhampiran klinik terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Habibi memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan dan terus menghantar sepasukan polis ke lokasi untuk pemeriksaan.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati masih tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke bahagian kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 11.20 pagi ketika mendapatkan rawatan lanjut di hospital. Setakat ini, punca kematian masih belum dapat diketahui,” katanya.

Habibi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik HQE bagi tujuan ujian saringan Covid-19.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – K! ONLINE

The post Lelaki belum sempat dapatkan rawatan rebah, meninggal dunia appeared first on Kosmo Digital.