[KEMASKINI] ‘Bob Mah Sing’ diburu

PETALING JAYA – Dua anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta jenis Proton Waja yang dinaiki dua lelaki selepas merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas di Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Kejadian yang mencetuskan kebimbangan orang awam terbabit tular di media sosial menerusi satu video berdurasi satu minit 45 saat yang menunjukkan kereta bernombor pendaftaran MAS175 melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta jenis Perodua Myvi untuk melarikan diri.

Pemandu kereta tersebut turut dilihat mengundurkan kenderaannya dan melanggar kereta lain beberapa kali sebelum berjaya memecut melalui celahan kereta menghala ke arah Kuala Selangor.

Difahamkan, kedua-dua suspek dipercayai telah melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran sebaik menghentikan kenderaan di bahu jalan berhampiran MRT Damansara Damai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal menerusi satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.

“Tindakan pantas dari bahagian forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah berjaya mengesan dan merampas plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin yang dijumpai didalam kenderaan tersebut.

“Hasil maklumat orang awam, salah seorang suspek yang berusia 35 tahun telah berjaya ditahan di kawasan perumahan Desa Aman kira-kira satu km dari lokasi kereta ditinggalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, semakan rekod lampau mendapati suspek yang ditahan mempunyai lapan rekod berkaitan kes dadah.

 

suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Bob Mah Sing’ berusia dalam lingkungan 40an.

“Polis kini sedang mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Bob Mah Sing’ berusia dalam lingkungan 40an.

“Permohonan reman akan dilakukan esok untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyn 307, 427, 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2)Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958. – K! ONLINE

The post [KEMASKINI] ‘Bob Mah Sing’ diburu appeared first on Kosmo Digital.