Jumlah penagih golongan B40 meningkat

JASIN – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka mendedahkan jumlah penagihan dadah membabitkan golongan B40 di negeri ini meningkat dengan rekod terkini lebih 800 Orang Kena Pengawasan (OKP) terdiri daripada kelompok itu.

Pengarahnya, Nazir Mohamad berkata, berdasarkan rekod, tangkapan yang dibuat pada 2019 adalah sebanyak 991 orang dan jumlah itu terus meningkat kepada 1,113 pada tahun lalu.

Katanya, sehingga kini pihaknya memantau seramai 1,657 OKP dengan lebih separuh daripada jumlah tersebut terdiri daripada golongan B40.

“Hasil semakan dan rekod latar belakang dilakukan, kita mendapati jumlah penagihan dari golongan B40 meningkat dengan 800 daripada 1,657 OKP adalah daripada kolompok tersebut.

“Kebanyakan mereka mengakui mula terjebak dengan penagihan dadah gara-gara kononnya ingin melepaskan tekanan yang dihadapi disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program Sentuhan Prihatin sempena memperingati Hari Antidadah Kebangsaan 2021 di sini, hari ini. Turut hadir ialah Pegawai Daerah Jasin, Datuk Anis Ali Hasan.

Mengulas lanjut, Nazir berkata, sebanyak 76 peratus daripada jumlah OKP tersebut berusia antara 18 hingga 45 tahun.

“Setakat ini seramai 1,259 OKP adalah daripada golongan belia dan tiada tangkapan membabitkan remaja sekolah.

“Selebihnya adalah mereka yang berusia 46 tahun dan ke atas termasuk warga emas,” katanya.

Terdahulu, pada program tersebut, pasukan AADK bersama-sama wakil dari Pejabat Daerah dan Tanah Jasin itu menyantuni lima orang OKP di sekitar daerah Jasin dan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan dan wang tunai mengikut keperluan masing-masing. – K! ONLINE

The post Jumlah penagih golongan B40 meningkat appeared first on Kosmo Digital.