Inisiatif khas SKM bantu koperasi di Melaka

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah melaksanakan beberapa inisiatif khas kepada koperasi-koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Pengarah SKM cawangan Negeri Melaka dalam satu kenyataan berkata, ini adalah salah satu usaha kerajaan melalui MEDAC bagi membantu koperasi dalam mengahadapi kelembapan operasi perniagaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Antara inisiatif yang diberikan adalah kelonggaran kepada mana-mana koperasi yang terjejas pendapatannya untuk membuat pembayaran balik pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM) selepas tamatnya tempoh moratorium yang diberikan,” katanya.

Tambah kenyataan, pihak koperasi turut diberikan peluang untuk membuat pembiayaan Tabung Modal Pusingan sehingga RM100 Ribu tanpa sebarang cagaran kepada grace period selama enam bulan.

“Pihak SKM juga telah meluluskan permohonan Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) sebanyak RM25 Ribu bagi mereka yang terkesan akibat banjir pada hujung tahun 2020 yang lalu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, rekod perangkaan SKM bagi cawangan negeri Melaka, sebanyak empat akaun pembiayaan TMP-SKM telah diluluskan bagi tahun 2020 kepada koperasi di negeri itu dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM600 Ribu.

“Bagi tahun ini pula, sebanyak RM4.3 Juta telah diperuntukkan kepada koperasi di negeri ini.

“Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 447 buah koperasi telah berdaftar di bawah penyeliaan SKM Melaka dengan bilangan anggota keseluruhan seramai 145,711 orang,” katanya.- UTUSAN ONLINE

The post Inisiatif khas SKM bantu koperasi di Melaka appeared first on Utusan Digital.