Frontliner Terengganu terima vaksinasi Isnin ini

KUALA TERENGGANU – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Terengganu bermula hari ini dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 itu.

Beliau menerima suntikan vaksin Covid-19 berkenaan pada majlis khas yang diadakan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 4.05 petang.

Turut disuntik dengan vaksin itu pada majlis sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus.

Ahmad Samsuri memberitahu, beliau tidak merasa sebarang kesakitan dan tiada mendapat apa-apa alahan selepas disuntik vaksin Covid-19 berkenaan.

“Saya rasa digigit semut lagi sakit dan keadaan saya (selepas disuntik) baik. Rakyat tidak perlu takut dan sepatutnya menunggu-menunggu untuk disuntik (vaksin Covid-19).

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama yang akan melibatkan barisan hadapan Terengganu bakal bermula pada Isnin ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan Covid-19 di HSNZ di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, bakal penerima suntikan Covid-19 fasa pertama tersebut akan menerima tarikh dan lokasi temujanji masing-masing di pusat pemberian vaksin (PPV) ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Terengganu telah menerima 16,330 dos vaksin Covid-19 pada kelmarin.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa satu di Terengganu ini dijangka berlanjutan sehingga bulan Mei depan.

“Saya sendiri dijadual menerima suntikan dos kedua (vaksin Covid-19) pada 19 Mac depan,” katanya. – K! ONLINE

The post Frontliner Terengganu terima vaksinasi Isnin ini appeared first on Kosmo Digital.