Fitnah: Perkasa diperintah bayar RM150,000 kepada Guan Eng

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana fitnah.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan melalui majoriti 2-1, membenarkan rayuan Guan Eng untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Ketika prosiding, Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang menyampaikan keputusan itu berkata, seorang pegawai awam, sama ada menyaman atas kapasiti jawatan rasmi atau peribadi, tidak dilarang daripada membawa tindakan untuk mendapatkan ganti rugi atas fitnah.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang kepada keputusan itu.

Menurut penghakiman majoriti itu, semua individu tidak kira atas apa jua kapasiti berhak mendapat perlindungan.

“Selagi mana kenyataan berbaur fitnah itu menunjukkan siapa individu dalam kerajaan dalam `serangan’ mereka berbanding mengkritik tindakan atau polisi kerajaan, individu yang dikenalpasti itu mempunyai hak untuk memulakan tindakan atas selagi mana reputasi mereka terjejas.

“Tiada perkara yang boleh membezakan seorang penjawat awam yang difitnah atas tindakannya dalam kapasiti rasmi atau peribadi,” ujar Hakim Harminder.

Selain itu, berdasarkan pliding yang difailkan, adalah jelas tindakan saman yang dibuat oleh Guan Eng adalah di atas kapasiti peribadinya dan bukan sebagai Ketua Menteri.

Sementara, menurut penghakiman menentang Hakim Abdul Rahman, tiada sebarang kebenaran daripada Penasihat Undang-Undang Negeri dikemukakan oleh firma guaman yang mewakili Guan Eng dalam tindakan saman tersebut.

Sehubungan itu, peguam yang mewakili perayu di semua peringkat mahkamah bukanlah ejen yang dilantik bagi mengendalikan kes saman itu.

Selepas penghakiman dibacakan, Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan ganti rugi sebanyak RM150,000 yang perlu dibayar oleh Perkasa dan Ibrahim.

Mahkamah turut menetapkan kos sebanyak RM50,000.

Pada 11 Mei 2012, Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap tujuh defendan dengan mendakwa bahawa bekas Ketua Penerangan Perkasa, Allahyarham Ruslan Kassim menyiarkan kenyataan di laman sesawang Perkasa pada 1 Oktober 2011, yang meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahya memberi penjelasan tentang pertemuannya dengan Datuk Seri Kalimullah Hassan dan seorang pemimpin kanan PAP di Singapura pada 12 Ogos 2011. – K! ONLINE

The post Fitnah: Perkasa diperintah bayar RM150,000 kepada Guan Eng appeared first on Kosmo Digital.