Enam warga China kekal ditahan bawah POCA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 boleh diguna pakai terhadap mereka yang bukan warga negara Malaysia.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata demikian ketika membaca penghakiman ringkasnya berhubung bantahan awal oleh empat responden terhadap permohonan habeas corpus enam warga China agar mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan POCA.

“Sebelum ini saya telah meminta pihak-pihak untuk berhujah sama ada POCA boleh dikenakan terhadap mereka yang bukan warga negara Malaysia. Selepas meneliti hujahan dan afidavit, saya berpendapat ia boleh dilaksanakan pada bukan warga negara.

“Selain itu, permohonan habeas corpus oleh pemohon-pemohon berhubung perintah reman mengikut Seksyen 4(2)(a) POCA yang dicabar telah menjadi akademik memandangkan kesemua pemohon kini telah dikenakan perintah tahanan mengikut Seksyen 19(1) akta sama bagi tempoh enam bulan,”katanya.

Sehubungan itu, Mahkamah membenarkan permohonan oleh kesemua responden iaitu pegawai penyiasat, Inspektor Wayandiana Abdullah, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia dan menolak permohonan oleh kesemua warga China itu.

Sejurus mahkamah membacakan keputusan itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Jiang Xiang, Wang Jun Cheng, Li Jiang, Luo Hongbin, Lei Meng dan Yu Xiang Yu memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Kesemua warga China itu ditahan sejak November tahun lalu selepas dipercayai terlibat dengan Macau Scam dan judi atas talian. Kesemua pemohon kini ditahan reman di Pusat Pemulihan Khas di Simpang Renggam, Johor dan Bentong, Pahang.

Menurut permohonan yang difailkan, kesemua warga China itu memohon dilepaskan daripada tahanan serta merta atas alasan penangkapan dan penahanan mereka di bawah akta itu tidak mempunyai asas, tidak mematuhi prosedur dan mala fide (berniat jahat).

Selain itu, mereka turut mendakwa peruntukan POCA tidak tertakluk kepada mereka kerana merupakan warga negara asing.

Bagaimanapun, responden ketika mengemukakan bantahan awal menyatakan POCA boleh dikenakan terhadap bukan rakyat Malaysia kerana tiada peruntukan di dalam akta tersebut yang menyatakan undang-undang itu tidak boleh digunakan terhadap bukan warganegara. – UTUSAN ONLINE

The post Enam warga China kekal ditahan bawah POCA appeared first on Utusan Digital.