Doktor rugi RM72,000 tertarik pinjaman di Facebook

MELAKA – Seorang doktor lelaki berputih mata selepas rugi RM72,165.74 gara-gara tertarik dengan tawaran pinjaman di Facebook, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, kejadian berlaku selepas doktor berusia 30 tahun itu tertarik dengan tawaran pinjaman tersebut yang diiklankan di media sosial Facebook.

Katanya, mangsa yang berminat kemudian telah berhubung dengan suspek sebelum meneruskan perbincangan melalui panggilan telefon.

“Selepas berbincang, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM200,000.

“Mangsa yang berkhidmat di sebuah hospital di negeri ini bagaimanapun diarahkan suspek untuk membuat pelbagai bayaran tertentu seperti duti setem dan sebagainya bagi membolehkannya mendapat pinjaman itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mangsa yang percaya dengan penerangan suspek seterusnya telah melakukan tujuh transaksi pembayaran berjumlah keseluruhan RM72,165.74 secara ke dalam tiga akaun bank berbeza yang diberikan suspek.

“Selepas membuat pembayaran, suspek masih meminta wang daripada mangsa dan sehingga kini masih tidak menerima pinjaman wang seperti dijanjikan.

“Berasa dirinya tertipu, doktor tersebut kemudian membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah, semalam,”katanya.

Katanya, hasil semakan lanjut, pihaknya mendapati nombor talian yang digunakan suspek terlibat dengan sembilan laporan menggunakan modus operandi sama.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kerana menipu. – K! ONLINE

The post Doktor rugi RM72,000 tertarik pinjaman di Facebook appeared first on Kosmo Digital.