Direman rasuah RM28,000 luluskan tanah

SHAH ALAM – Seorang Penolong Pegawai Pejabat Tanah sebuah daerah direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan meminta dan menerima suapan keseluruhan RM28,000 berhubung kelulusan permohonan tanah untuk pembinaan rumah dan kerja tanah serta parit bangunan tiga tingkat di Rawang di antara tahun lalu dan awal Januari.

Perintah reman itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norliza Hussin di Mahkamah Majistret di sini terhadap suspek yang berusia 45 tahun.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) tiba kira-kira pukul 10 pagi dengan bergari dan dikawal pegawai SPRM.

Menurut sumber, suspek telah ditahan pukul 3.45 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Kata sumber, suspek yang telah bekerja selama 20 tahun itu meminta dan menerima suapan berjumlah RM28,000 daripada dua kontraktor berusia 40 dan 50 an.

“Siasatan awal mendapati suspek telah meminta RM20,000 bagi permohonan kerja tanah, jalan dan parit bagi bangunan tiga tingkat meliputi pejabat dan kedai.

“Suspek juga difahamkan telah menerima RM10,000 daripada seorang kontraktor sebagai pendahuluan dimintanya dengan bayaran selebihnya selepas mendapatkan kelulusan permohonan tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Menurut sumber, suspek juga turut meminta RM8,000 daripada seorag lagi kontraktor bagi kelulusan membina rumah.

Ujarnya lagi, kontraktor itu pernah memohon untuk perkara sama pada 2016 namun ditolak sebelum membuat permohonan baharu pada tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. -K!ONLINE

The post Direman rasuah RM28,000 luluskan tanah appeared first on Kosmo Digital.