Cinta Layla Majnun versi Indonesia

KISAH cinta legenda yang cukup tragis iaitu Laila Majnun pasti bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Membawa naratif sama berkisarkan cinta abadi, filem terbaharu Indonesia yang dijayakan aktor terkenal Reza Rahadian bergandingan dengan Acha Septriasa, Layla Majnun mula menemui penonton Netflix sejak 11 Februari lalu.

Diarahkan oleh sutradara Monty Tiwa, Layla Majnun sekali lagi menampilkan gandingan dua pelakon itu selepas kali terakhir bekerjasama menerusi filem Test Pack (2012).

Ketika berpeluang menemu bual dua pelakon itu termasuk Baim Wong yang membawa watak sebagai Ibnu Salam dan Monty menerusi maya baru-baru ini, banyak cerita dikupas terutama tentang watak dan cabaran sepanjang penggambaran.

Bercerita tentang Layla, Acha menyifatkan watak itu tidak lari jauh berbanding karakter sebenar dirinya terutama dari segi kecintaan tinggi terhadap sastera dan kerjaya sebagai pendidik.

“Dalam filem ini ada banyak babak Layla sedang mengajar, jadi kehidupan yang digambarkan sangat dekat dengan diri dan cita-cita saya.

“Cuma bezanya dalam naskhah ini yang cukup dikenali ramai, Layla ialah sang pemimpi, pencinta sastera, maka cinta yang dimilikinya sangat tulus untuk orang yang dicintai.

“Untuk menyelaraskan dengan budaya Indonesia supaya menampakkan watak Layla seperti wanita tempatan, saya banyak merujuk diri sendiri dan skrip,” kongsinya.

POSTER filem Layla Majnun.

Bahasa asing

Reza Rahadian pula cukup terkenal sebagai pelakon serba boleh dan tidak pernah gagal menjayakan wataknya dalam deretan naskhah layar perak popular.

Meskipun berpengalaman luas sebagai aktor, namun penglibatannya dalam Layla Majnun tetap memberi cabaran tersendiri kepada Reza memandangkan dia membawa watak seorang lelaki Azerbaijan.

Sudah tentu, perkara yang meresahkannya ialah untuk melontarkan dialog dalam bahasa Azerbaijan dengan lancar tanpa menimbulkan rasa canggung.

“Bukan sekadar perlu menguasai bahasa Azerbaijan tetapi dalam filem ini, saya perlu potretkan dengan jelas bagaimana seorang lelaki dari negara tersebut yang kekok berbahasa Indonesia.

“Tetapi saya sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan ramai pihak yang banyak membantu kelancaran penggambaran, terutamanya pelajar di Pusat Pengajian Bahasa Indonesia di Universiti Azerbaijan,” ujarnya.

Mungkin ramai yang masih belum tahu, ironinya Reza sendiri merupakan seorang tenaga pengajar di Indonesia sehingga beberapa videonya sedang mengajar pernah tular di Malaysia sebelum ini.

Ditanya tentang watak Samir yang menjadi pelajar di sebuah universiti, Reza menyifatkan perbezaan tersebut cukup signifikan dengan kehidupan sebenarnya selaku pensyarah.

“Berperang sebagai seorang pelajar ialah satu perkara yang saya terlepas ketika usia muda. Jadi saya gunakan situasi itu dan salurkan menerusi karakter Samir.

SELEPAS hampir sedekad, Layla Majnun akhirnya kembali menampilkan gandingan Acha dan Reza Rahadian.

“Cuma perbezaan paling besar antara saya dengan Samir ialah dia seorang lelaki yang begitu memperjuangkan cinta.

“Realitinya saya bukan begitu, saya bukan pejuang cinta,” tuturnya berseloroh.

Sementara itu, Monty ketika ditebak dengan pandangannya, jika naskhah tersebut seperti memberi gambaran negatif terhadap orang politik, dia hanya tertawa sebelum melontarkan jawapan pedas.

“Tanpa harus dibantu saya, mereka sudah sangat pakar dalam memberi hal negatif kepada masyarakat.

“Jadi tidak perlu gusar jika isu tersebut timbul selepas orang menonton filem ini.

“Berbalik kepada tujuan asal, kami cuma membentangkan sebuah cerita. Ada yang salah, ada yang benar. Begitu juga ada yang baik, ada yang jahat.

“Moralnya, isi jalan cerita lebih kepada untuk menonjolkan inilah sifat sebenar manusia pada umumnya. Kejahatan yang ditonjolkan dalam cerita ini boleh dilakukan sesiapa sahaja tanpa mengira status sosial,” jelasnya.

SUDAH mula menemui penonton sejak 11 Februari lalu menerusi Netflix, Layla Majnun menjadi antara naskhah 2021 yang paling dinantikan peminat.

The post Cinta Layla Majnun versi Indonesia appeared first on Kosmo Digital.