Bomba Selangor sanitasi 10 sekolah rendah

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor akan melakukan proses sanitasi terhadap 10 buah sekolah rendah menjelang sesi persekolahan yang bermula 1 Mac nanti.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, proses sanitasi itu akan dilakukan selama dua hari bermula esok.

Menurutnya, bagi tahun ini sahaja, 40 buah sekolah telah disanitasi atas permintaan pihak tersebut dan sekiranya terdapat kes di sesuatu kawasan.

“Bagi institut pengajian tinggi pula, Management & Science University (MSU) adalah yang pertama memohon untuk proses sanitasi.

“Malah, setakat ini juga tiada permintaan dari universiti lain untuk premis mereka disanitasi,”katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Kempen Sanitasi Awam di MSU yang turut dihadiri oleh Presidennya, Tan Sri Dr.Mohd.Shukri Ab.Yajid.

Dalam perkembangan lain, Norazam berkata, sebanyak 994 kes pembakaran terbuka berlaku akibat cuaca panas sejak kebelakangan ini.

Jelasnya, antara kategori kebakaran melibatkan kawasan kebun, ladang, hutan, belukar, lalang dan sampah.

“Kawasan yang terlibat dengan pembakaran terbuka adalah seluas 8,140 hektar melibatkan  kawasan hutan dan tanah gambut. Angara kawasan dilaporkan ialah di Cheras, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, tepi Lebuhraya Elite dan Jalan Merbuk Kampung Kebun Baru.

“Kebakaran yang masih dalam proses pemadaman adalah di tepi Lebuhraya Elite dan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan. Dalam keadaan cuaca panas, hutan mudah terbakar walaupun berpunca satu puntung rokok,”katanya. -UTUSAN ONLINE

The post Bomba Selangor sanitasi 10 sekolah rendah appeared first on Utusan Digital.