APMM selamatkan lima pemancing tersadai di tengah laut

KUALA NERUS – Lima pemancing panik selepas bot rekreasi dinaiki mereka tiba-tiba rosak di tengah laut sebelum diselamatkan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran perairan Pulau Redang dekat sini semalam.

Sewaktu diselamatkan pada pukul 5.45 petang, bot dinaiki kesemua lelaki berusia 32 hingga 47 tahun itu berada pada kedudukan 15 batu nautika dari perairan Pulau Redang.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot Penggalang 17 milik APMM segera bergegas ke lokasi terbabit sebaik dimaklumkan tentang kejadian itu.

“Sewaktu tiba di lokasi berkenaan, kesemua pemancing dalam keadaan baik sebelum dipindahkan ke dalam bot Penggalang 17.

“Mereka kemudian dibawa ke jeti Pulau Redang yang mana perjalanannya mengambil masa kira-kira 15 minit,” ujarnya hari ini.

Jelasnya, bot rekreasi lima pemancing yang rosak itu juga turut ditunda ke pulau peranginan untuk kerja-kerja pembaikan.

Ujarnya lagi, APMM bersedia melakukan kerja-kerja penyelamatan dan perkhidmatan bantuan kecemasan di laut selain penguatkuasaan maritim. – K! ONLINE

The post APMM selamatkan lima pemancing tersadai di tengah laut appeared first on Kosmo Digital.