Alli kembali temui sentuhan terbaik

LONDON – Tottenham Hotspur muncul pasukan pertama mara ke peringkat 16 Liga Europa menerusi keputusan agregat 8-1 ke atas Wolfsberger selepas menang 4-0 pada aksi timbal balik pusingan 32 awal pagi semalam.

Pengurus Spurs, Jose Mou­rinho memuji impak pemain te­ngah, Dele Alli yang meledak satu gol menerusi gerakan akrobatik selain mencipta dua umpanan jaringan pada aksi di Stadium Tottenham Hotspur itu.

Mourinho, 58, tanpa berselin­dung memuji kecemerlangan Alli yang seperti sudah kembali ke tahap terbaiknya selepas jarang diturunkan bermain dalam kebanyakan perlawanan terutama aksi-aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

“Saya tak perlu mengulas me­ngenai gol itu kerana semua orang dapat melihatnya dengan jelas. Saya percaya peminat-peminat di seluruh dunia akan berulang kali menyaksikan bagaimana gol tersebut dijaringkan.

“Namun, saya lebih tertarik dengan persembahannya secara keseluruhan. Dia (Alli) bermain dengan cukup bagus dari setiap aspek walaupun lama tidak bermain disebabkan kecederaan.

“Saya sangat gembira kerana dia sudah kembali ke tahap terbaik. Ia amat penting buat kami yang perlu menempuhi 10 perlawanan bulan depan dengan satu aksi untuk setiap tiga hari,” kata Mourinho.

Selain Alli, tiga lagi gol Spurs awal pagi semalam diperoleh menerusi dua jaringan Carlos Vi­nicius dan satu daripada Gareth Bale.

Kemenangan itu tentunya memberikan tonik tambahan buat Spurs untuk kembali me­raih kemenangan selepas kalah dua aksi terakhir EPL apabila dijadualkan menentang Burnley pada Ahad ini. – AGENSI

The post Alli kembali temui sentuhan terbaik appeared first on Kosmo Digital.