Akid buat kejutan sertai pasukan TKKR

JAGUH Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) UB150 2017, Mohd. Akid Aziz melakukan kejutan apabila berhijrah menyertai pasukan TKKR Racing Team pada saingan Kejuaraan Malaysia Cub Prix musim ini.

Pelumba itu sebelum ini bersama pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, namun membuat keputusan berpisah selepas kontraknya tamat pada hujung tahun lalu.

Akid pernah muncul juara keseluruhan kelas CP115 sebanyak dua tahun pada musim 2016 dan 2017 sebelum menjadi juara UB150 ARRC (2017). Pada saingan Cub Prix CP150, Akid mengakhiri saingan di tempat ketiga pada 2018 dan 2019.

“Perasaan saya sangat gembira kerana dapat bersama dalam keluarga TKKR. Saya mahu meletakkan impian tinggi untuk muncul juara CP150 musim ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Maju Motor sepanjang lima tahun saya bersama mereka,” kata pelumba kelahiran Kuala Lumpur tersebut semalam.

Akid yang terkenal dengan gelaran The Silent Hunter me­ngakui bakal beraksi dalam saingan ARRC bersama TKKR bagi kelas Supersports 600 (SS600).

“Ini kali pertama saya beraksi dalam kategori 600 bersama jentera Yamaha R6 dan saya harap mampu melakukannya. Saya akui bukan mudah tetapi ia bukan satu perkara mustahil buat saya,” ujarnya.

Selain Akid, TKKR turut membawa masuk pelumba berpengalaman seperti Abdul Muhaimin Roslan selain mengekalkan Muzakkir Moha­med musim ini.

Kejuaraan Cub Prix 2021 menyajikan 10 pusingan perlumbaan dan saingan pertama akan membuka tirai pada 20 Mac depan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

The post Akid buat kejutan sertai pasukan TKKR appeared first on Kosmo Digital.