8,140 hektar musnah akibat pembakaran terbuka di Selangor

SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor merekodkan sebanyak 994 kes pembakaran terbuka melibatkan kemusnahan seluas 8,140 hektar di negeri terutama sepanjang cuaca panas bermula Januari hingga semalam.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pembakaran itu melibatkan 464 kes di kawasan belukar dan lalang, tempat pembuangan sampah haram (225), hutan (230) dan kebun serta ladang (75).

Katanya, antara kawasan dilaporkan ialah di Cheras, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, tepi Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Jalan Merbuk, Kampung Kebun Baru.

“Kebakaran yang masih dalam proses pemadaman adalah di tepi Lebuhraya Elite dan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.

“Malah siasatan awal mendapati pembakaran haram yang berlaku di pinggir Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dipercayai dilakukan secara sengaja oleh individu tertentu dan pihaknya akan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Sanitasi Awam di Management and Science University (MSU) di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MSU, Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.

Kerja sanitasi giat dijalankan.

Dalam perkembangan berlainan, beliau memberitahu, sebanyak 10 buah sekolah rendah akan disanitasi selama dua hari bermula esok menjelang sesi persekolahan yang bermula 1 Mac nanti.

Norazam menambah, setakat Februari ini sebanyak 40 buah sekolah telah disanitasi atas permintaan pihak tersebut dan sekiranya terdapat kes di sesuatu kawasan.

“Bagi institut pengajian tinggi pula, Management & Science University (MSU) adalah yang pertama memohon untuk proses sanitasi,” ujarnya. – K!ONLINE

 

The post 8,140 hektar musnah akibat pembakaran terbuka di Selangor appeared first on Kosmo Digital.