6 warga China Macau Scam kekal dalam reman POCA

KUALA LUMPUR – Enam warga China yang sebelum ini ditahan reman selama 59 hari mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berhubung judi dalam talian Macau Scam diputuskan kekal dalam penjara.

Enam lelaki warga China selaku pemohon itu ialah Jiang Xiang, Wang Jun Cheng, Li Jiang, Luo Hong Bin, Lei Meng dan Yu Xiang Yu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan responden iaitu pegawai penyiasat, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Dalam penghakimannya, Azhar berkata permohonan pemohon untuk mencabar penahanan awal 59 hari mereka di bawah Seksyen 4 (2) (a) POCA telah menjadi akademik sejak mereka ditahan di bawah Seksyen 19A (1) akta sama.

“Mereka kini ditahan di bawah Seksyen 19A (1) di pusat tahanan Simpang Renggam, Johor dan Bentong, Pahang.

“Permohonan dibawah Seksyen 4 (2) (a) yang dihadapi telah menjadi akademik berikutan keenam-enamnya sebelum ini telah ditahan selama enam bulan. Justeru bantahan awal responden dibenarkan dan permohonan habeas corpus kesemua pemohon ditolak,” katanya.

Sebelum ini keenam-enam pemohon ditahan  pada Oktober tahun lalu dan direman selama 59 hari sehingga 23 November tahun yang sama.

Dalam pada itu Azhar turut memutuskan bahawa POCA juga terpakai untuk bukan warganegara.

Sebelum ini pada Disember tahun lalu pihak pembelaan berhujah bahawa akta yang digunakan terhadap anak guamnya tidak boleh digunakan untuk warga asing tetapi terhad hanya kepada rakyat Malaysia.

Sementara pihak responden pula berhujah Perkara 151(1)(b) tidak boleh dilihat secara berasingan dan perlu dibaca bersama peruntukan lain. – K!ONLINE

The post 6 warga China Macau Scam kekal dalam reman POCA appeared first on Kosmo Digital.