42,120 anggota ATM terima vaksin Fasa 1

PETALING JAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima sebanyak 10,530 dos daripada 84,240 dos vaksin bagi 42,120 anggota untuk Fasa 1 Program Immunisasi Covid-19 Nasional.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kumpulan sasar pertama penerima vaksin adalah anggota Perkhidmatan Kesihatan ATM yang terlibat secara aktif di dalam mengesan dan merawat penyakit Covid-19 serta yang terlibat dalam penugasan program vaksinasi.

“Kumpulan sasar pertama juga akan melibatkan anggota ATM yang sedang dan akan bertugas di kawasan-kawasan operasi seperti Op Penawar, Op Benteng, Misi Luar Negara di UNIFIL dan Pasukan Pemerhati Antarabangsa di Mindanao di bawah Tentera Darat, Laut dan Udara.

“Vaksin ini juga akan diberikan kepada Kumpulan Pemerintahan Strategik dan Operasi di Markas ATM, Kementerian Pertahanan, Markas Angkatan Bersama, Markas-markas Formasi Tentera Darat, Laut dan Udara terutamanya bagi mereka yang bertugas di bilik operasi dan bilik komunikasi markas-markas tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu jelas Ismail Sabri, pemberian vaksin Fasa 1 ini juga akan disasarkan kepada Pegawai dan anggota ATM yang terlibat secara langsung di dalam mengoperasikan aset pertahanan strategik negara seperti Pesawat Pejuang, Pesawat Pengangkut, Kapal Selam dan Kapal-kapal TLDM.

Bukan itu sahaja, katanya turut mendapat vaksin Fasa 1 itu juga termasuk, Juruterbang Helikopter TDM, TLDM dan TUDM, anggota Pasukan Khas, anggota yang mengendalikan aset pertahanan udara dan aset-aset khusus yang lain yang tidak boleh dikendalikan oleh mana-mana pegawai dan anggota lain yang tidak dilatih khas.

“ATM telah menjadualkan pemberian vaksin ini bermula pada 25 Feb 2021 terutamanya bagi para Petugas Vaksinasi Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera. Seramai 230 penerima telah divaksinasikan dengan dos pertama dari Vaksin jenis Cominarty keluaran Pfizer Biontech.

“Turut sama menerima suntikan vaksin tersebut adalah 14 orang pegawai dan anggota ATM dan PDRM yang akan terlibat dengan Misi Pemantau Antarabangsa Mindanao yang akan berlepas ke Mindanao selepas menerima suntikan dos kedua pada Mac hadapan,” katanya. -K!ONLINE

 

The post 42,120 anggota ATM terima vaksin Fasa 1 appeared first on Kosmo Digital.