2 menteri antara divaksin di Putrajaya

PUTRAJAYA: Hari pertama Program Imunisasi Vaksin Covid-19 (PICK) di seluruh negara hari ini menyaksikan dua menteri antara yang turut menerima suntikan dos kali pertama di sini.

Mereka ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwa Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dua individu berkenaan juga menjadi tumpuan ramai petugas media yang berkumpul di pekarangan Pejabat Kesihatan Daerah Wilayah Persekutuan Putrajaya di Presint 11 di sini.

Ronald tiba di pejabat itu yang merupakan antara 605 pusat pemberian vaksin diwujudkan di negara ini tepat kira-kira pukul 2.50 petang diikuti Zulkifli pula genap lima minit kemudian.

Turut memasuki kawasan stesen pendaftaran ialah beberapa petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan antaranya jururawat dari pelbagai fasiliti di sekitar Putrajaya.

Kedua-dua menteri Kabinet itu kemudian keluar serentak kira-kira pukul 3.50 petang sebelum mengadakan sidang akhbar secara ringkas di pintu masuk utama pejabat kesiharan tersebut.

Mereka yang kelihatan begitu ceria turut mengucapkan terima kasih kepada petugas terlibat dan berharap semua lapisan rakyat menyertai PICK bagi mengekang penularan Covid-19.

“Sila segera daftar menerusi aplikasi MySejagtera untuk mendapatkan giliran divaksin dan saya yakin, jika semua menyokong, kita dapat melandaikan keluk jangkitan,” kata Ronald.

Sementara Zulkifli pula dalam reaksi awal selepas disuntik itu berkata, beliau tidak berasa sakit sangat namun mengakui cuma sakit sedikit sahaja seperti suntikan biasa yang lain.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini yang disuntik vaksin itu selepas beliau melancarkan PICK Fasa Pertama secara rasmi di sini.

Turut menjadi kumpulan pertama menerima suntikan vaksin keluaran Pfizer-Biontech di pejabat tersebut ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri. Dr. Noor Hisham Abdullah.

PICK dilancarkan lebih awal daripada jadual selepas kumpulan pertama bekalan berjumlah 312,290 dos tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dekat sini Ahad lalu. – UTUSAN ONLINE

The post 2 menteri antara divaksin di Putrajaya appeared first on Utusan Digital.