Zulkifli terima suntikan vaksin Covid-19 esok

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri mengesahkan akan mengambil suntikan vaksin Covid-19, esok.

Perkara itu dimaklumkannya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Zulkifli berkata, beliau akan menerima suntikan itu di Klinik Kesihatan Presint 11, Putrajaya kira-kira pukul 3 petang selepas solat Jumaat, esok.

Sementara itu, Zulkifli menyeru semua rakyat Malaysia yang belum mendaftar untuk vaksinasi, boleh berbuat demikian melalui aplikasi MySejahtera.

“Mudah-mudahan Allah S.W.T selamatkan kita daripada wabak Covid-19 ini.

“Pengambilan vaksin adalah amat baik berdasarkan rekod dan catatan serta perakuan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan-badan kesihatan dunia,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjadi individu pertama di negara ini yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Presint 11, di sini.

Turut menerima suntikan sama adalah empat petugas kesihatan dan perubatan yang bertugas di Putrajaya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara rasminya bermula semalam dan kira-kira 500,000 barisan hadapan akan menerima vaksin berkenaan. – K! ONLINE

The post Zulkifli terima suntikan vaksin Covid-19 esok appeared first on Kosmo Digital.