Usah bimbang keberkesanan vaksin – Ismail Sabri

PETALING JAYA – Orang ramai tidak perlu bimbang akan keberkesanan vaksin Covid-19 kerana ia telah melalui pelbagai ujian klinikal dan proses kajian di dalam dan luar negara.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Perdana Menteri telah menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin dan akan disusuli oleh pasukan barisan hadapan.

“Dengan adanya vaksin ini, ianya akan memberi impak besar kepada usaha kerajaan dalam mengawal penularan jangkitan Covid-19.

“Tidak perlu bimbang akan keberkesanan vaksin ini kerana negara-negara lain juga telah memulakan proses vaksinasi terhadap pemimpin dan rakyat mereka seperti di Singapura, Indonesia, Turki dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar harian Majlis Keselamatan Negara hari ini.

Jelas beliau, orang ramai diseru agar tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tidak sahih dan yakin bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini adalah  demi keselamatan rakyat.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dijangka mengambil masa setahun bermakna walaupun program ini telah dijalankan, pematuhan serta penguatkuasaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) masih perlu diteruskan.

“Sudah pasti kesan daripada imunisasi ini memerlukan masa bagi menunjukkan perkembangan positif jadi kita semua harus tetap mengamalkan kehidupan dalam norma baharu dan kawalan kendiri yang baik,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut mengingatkan orang ramai supaya segera mendaftarkan maklumat diri di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

“Pendaftaran online akan dibuka di laman web https://www.vaksincovid.gov.my/dan Kementerian Kesihatan (KKM) bermula 5 Mac depan.

“Begitu juga, pendaftaran secara bersemuka di klinik-klinik kesihatan dan hospital juga akan bermula pada minggu hadapan,” katanya. -K! ONLINE

The post Usah bimbang keberkesanan vaksin – Ismail Sabri appeared first on Kosmo Digital.