Tiga pengarah, syarikat didakwa 600 pertuduhan langgar syarat lesen kedai bebas cukai

GERIK – Sebuah syarikat bersama tiga pengarah didakwa di Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu di sini hari ini atas 600 pertuduhan melanggar syarat lesen kedai bebas cukai, enam tahun lalu.

Tertuduh iaitu Seruntun Maju Sdn. Bhd.; Ahmad Zubir Khalid, 61; Ong Bok Siong, 62, dan Mohd. Radzuan Abdullah, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Kesemua mereka membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh.

Seorang lagi tertuduh, Lean Choon Hock, 43, yang juga pengurus syarikat terbabit bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah.

Mengikut pertuduhan, syarikat dan tiga pengarahnya masing-masing didakwa di atas 150 pertuduhan kerana gagal mengikut syarat lesen terhadap resit jualan iaitu setiap resit jualan perlu mengandungi nama penuh, nombor dokumen perjalanan dan nombor kenderaan mengikut kehendak Perintah Tetap Kastam Bil. 55.

Mereka sebagai orang yang menjalankan perniagaan kedai bebas cukai di bawah Akta Kastam 1967 itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kompleks Bebas Cukai di Pengkalan Hulu pada 9 September 2015.

Pendakwaan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 65D Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 138 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Dr. Mohamad Saprin dibantu S. Morgan, Nur Izyani Ismail dan Lokman Ripin manakala syarikat dan tiga tertuduh itu diwakili peguam Louis Liaw Vern Xien.

Terdahulu, Mohamad menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada syarikat dan tiga pengarahnya namun peguam yang mewakili mereka memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas syarikat dan tiga pengarah berkenaan serta menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan kehadiran Choon Hock.

Prosiding di hadapan Majistret Norhidayati itu bermula pukul 11.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 8 malam. -K! ONLINE

The post Tiga pengarah, syarikat didakwa 600 pertuduhan langgar syarat lesen kedai bebas cukai appeared first on Kosmo Digital.