Syarat pelik Khabib kembali ke Oktagon

LONDON – Jaguh seni bela diri campuran (MMA) dunia, Khabib Nurmagomedov memberi bayangan untuk keluar daripada persaraan selepas mengakui berminat kembali ke gelanggang, namun meletakkan syarat pelik.

Juara dunia kelas ringan (Lightweight) UFC tersebut menegaskan, dia tidak tertarik atau berminat untuk menentang tujuh jaguh petinju kelas Lightweight buat masa ini.

Tegasnya, jika kembali ke gelanggang dia hanya ingin berdepan juara Welterweight, Georges St-Pierre (GSP).

“Anda sebutkan setiap pe­tinju UFC ketika ini, namun saya tidak tertarik untuk berdepan mereka. Mereka tidak mampu memberi saya semangat untuk kembali ke gelanggang ini semula.

“Jika saya mendengar nama Georges St-Pierre, saya bermotivasi dan seperti ingin menjalani persediaan untuk berdepannya,” kata Khabib.

Tujuh petinju kelas ringan UFC iaitu Charles Oliveira, Michael Chandler, Rafael Dos Anjos, Justin Gaethje, Dustin Poirier, Conor McGregor dan Tony Ferguson dilihat bersedia untuk berdepan Khabib.

“Contohnya, Charles Oliveira petinju yang baik, namun saya tidak teruja berdepannya. Michael Chandler masuk ke UFC dan menang, tapi kita sudah pernah melihat dia tumbang, jadi ia membuatkan saya tidak tertarik untuk berdepannya.

“Rafael Dos Anjos, Justin Gaethje, Dustin Poirier, Conor McGregor, semua bekas juara. Saya sudah menewaskan mereka semua. Jadi saya tidak teruja atau berminat untuk berdepan mereka sekali lagi.

“Jika anda sebut nama Georges St-Pierre, nama ini benar-benar membuat saya tertarik. Tetapi semuanya sudah berakhir kerana dia sudah berusia 40 tahun, jangan ganggu hidupnya lagi,” tambah Khabib. – AGENSI

The post Syarat pelik Khabib kembali ke Oktagon appeared first on Kosmo Digital.