Suntikan vaksin pertama di Kelantan 2 Mac ini

KOTA BHARU – Kelantan akan melaksanakan Fasa Pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Selasa depan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dalam program itu, seramai 140 orang telah dikenalpasti akan menerima suntikan terawal vaksin Covid-19.

“Daripada jumlah itu, golongan pemerintah, pentadbir, ahli politik, ulamak, penjawat awam dan rakyat telah dikenal pasti akan menerima suntikan awal.

“Selepas itu, program suntikan akan dijalankan di 39 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri melibatkan hospital kerajaan, pusat kesihatan tentera dan klinik-klinik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Penerimaan Stok Vaksin Pertama Untuk Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin.

Terdahulu, 18,720 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang dibawa dengan van logistik DHL itu tiba di IPK Kelantan pada pukul 3.30 petang ini selepas ia singgah di Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Mas.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beliau sudah bersedia menjadi individu pertama di Kelantan yang menerima suntikan vaksin pada pelancaran Fasa Pertama PICK di Dewan Utama Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Selasa depan.

“Ia umpama pergi ke Mekah. Tidak susah dan tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Banyak kelompok sudah menerima suntikan vaksin seperti Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah), Menteri Agama (Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri). Saya lihat tiada masalah,” katanya. – K! ONLINE

The post Suntikan vaksin pertama di Kelantan 2 Mac ini appeared first on Kosmo Digital.