Suntikan vaksin Covid-19 di Terengganu bermula esok

KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan salah seorang daripada empat individu terawal yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Terengganu, Rosman Abdullah berkata, tiga individu lain terlibat ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Zahari Md. Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak
dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, keempat-empat individu tersebut akan menerima suntikan vaksin berkenaan pada majlis khas yang akan diadakan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada esok.

“Selain itu dianggarkan 15,000 barisan hadapan termasuk 530 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu akan turut menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa satu.

“Ia akan dilakukan secara berperingkat di 20 pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan dibuka di lokaliti masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Bencana Terengganu di sini hari ini.

Rosman berkata, barisan hadapan terlibat akan menerima notifikasi tarikh dan lokasi penerimaan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing melalui aplikasi MySejahtera.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, semua 530 pegawai dan anggota APM negeri telah diwajibkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 berkenaan mengikut jadual ditetapkan. – K! ONLINE

The post Suntikan vaksin Covid-19 di Terengganu bermula esok appeared first on Kosmo Digital.