Status No. 1 bukan tiket untuk jadi ‘besar kepala’

BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See pasti­nya menjadi perhatian selepas ini apabila memegang status sebagai gandingan No. 1 di Persa­tuan Badminton Malaysia (BAM).

Beregu yang berada di ranking ke-29 dunia itu mengambil alih tugas sebagai beregu campuran No. 1 BAM selepas ketiadaan Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang kini bergerak secara profesional.

Bagaimanapun, Pang Ron menegaskan, status sebagai beregu campuran No. 1 BAM bukan peluang untuk meninggi diri dengan rakan sepasukan lain.

Sebaliknya, pemain berusia 23 tahun itu mahu menjadikan kedudukan tersebut sebagai pembakar semangat untuk menampilkan aksi lebih baik pada kejohanan Terbuka Switzerland.

“Saya akui tekanan semakin tinggi dengan status beregu No. 1 di BAM tetapi kami tidak kisah kedudukan itu. Apa yang paling penting adalah untuk sentiasa berikan aksi terbaik dalam setiap kejohanan.

“Selepas kejohanan di Thailand bulan lalu, permainan me­nunjukkan banyak peningkatan. Bagaimanapun, ia bukan tiket untuk kami tunjuk ‘besar kepala’,” katanya ketika dihubungi ­Kosmo! semalam.

Pada masa sama, Pang Ron juga sedia berdepan teguran atau kritikan daripada peminat jika gagal menampilkan aksi yang diharapkan pada kejohanan-kejohanan akan datang.

“Sudah tentu perlu bersedia untuk berdepan teguran dan kritikan peminat kerana setiap orang ada waktu naik turun. Apa yang penting kami perlu berjuang dalam apa keadaan sekali pun,” ujarnya lagi.

Kejohanan Terbuka Switzerland yang akan berlangsung 2 hingga 7 Mac depan dianggap penting kerana ia menawarkan mata kelayakan ke Sukan ­Olimpik Tokyo, Jepun.

The post Status No. 1 bukan tiket untuk jadi ‘besar kepala’ appeared first on Kosmo Digital.