Rakam video bawah skirt wanita, penghantar makanan didenda RM7,000

KAJANG – Gara-gara merakam video bawah skirt yang dipakai wanita, seorang penghantar makanan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Shahidan Mohammad, 46, selepas lelaki itu mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu dan tertuduh membayarnya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa dengan niat mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 38 tahun, dengan merakam video menggunakan telefon bimbitnya, yang diletakkan di bawah skirt yang dipakai mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di lif sebuah pangsapuri di Bandar Damai Perdana, pukul 9 malam pada 20 Februari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Menurut Muhammad Hairul Iqram perbuatan itu jelas menunjukkan tertuduh tidak menghormati serta mengganggu kesantunan wanita.

“Justeru harap mahkamah dapat memberi hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam perlu melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, S Priyalatha merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan perlu menyara isteri dan anak-anak berusia antara lima hingga 17 tahun.

“Anak guam saya memohon maaf kepada semua pihak terutama mangsa dan memohon budi bicara mahkamah agar memberi hukuman denda yang minimum,” katanya. – K! ONLINE

The post Rakam video bawah skirt wanita, penghantar makanan didenda RM7,000 appeared first on Kosmo Digital.