Polis tahan lelaki ‘suka’ baling batu pada kenderaan

LUMUT: Seorang lelaki yang mempunyai perangai pelik membaling batu ke arah kenderaan di sekitar Ayer Tawar dekat sini, ditahan polis petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar pada pukul 6.10 petang.

Katanya, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu atau methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kegiatan khianat itu berseorangan dan mendakwa ia bertujuan suka-suka selepas mengambil dadah.

“Suspek mendakwa menyorok di kawasan pembahagi jalan dan pokok dalam satu-satu masa untuk membaling batu ke arah kenderaan yang melalui kawasan sekitar Ayer Tawar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Nor Omar, ketika ditahan suspek sedang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan khayal.

Katanya, polis menemukan enam ketul batu di bakul motosikal yang ditunggang lelaki tersebut dipercayai digunakan untuk dibaling ke arah kenderaan lalu lalang.

Katanya, pemeriksaan lanjut pada poket belakang seluar suspek turut menemukan satu tiub penyedut minuman berisi ketulan kristal disyaki syabu.

Katanya, lelaki itu bersama rampasan dibawa ke Balai Polis Ayer Tawar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

The post Polis tahan lelaki ‘suka’ baling batu pada kenderaan appeared first on Utusan Digital.