Polis ambil keterengan bapa, kakak lelaki yang didakwa memurtadkan wanita Islam

JOHOR BAHRU – Polis Johor sudah mengambil keterangan bapa dan kakak kepada suspek lelaki berhubung kes memurtadkan seorang wanita Islam yang tular di media sosial minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keterangan itu diambil bagi membantu polis menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang prejudis.

Menurutnya, buat masa ini, polis sedang mengesan lelaki berusia 29 tahun itu serta pasangannya yang dipercayai sedang bersembunyi pada ketika ini.

“Kalau mengikut keterangan bapa dan kakak suspek, dia sudah lama tidak berada di rumah tersebut. Sama ada dia bersembunyi atau larikan diri, kita akan dapat tahu.

“Dalam masa yang sama, orang awam dinasihatkan tidak mengambil tindakan undang-undang ditangan sendiri sebaliknya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPK) di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu video berdurasi tiga minit 26 saat di media sosial membabitkan seorang lelaki bukan Islam yang mengaku telah memurtadkan seorang wanita Islam di negeri ini.

Menurut lelaki itu, cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam adalah dengan menukarkan agama mereka di negara lain seperti Indonesia, Singapura atau India terlebih dahulu.

Perkara itu menimbul kemarahan sekumpulan orang awam yang berkumpul untuk menyerbu rumah lelaki berkenaan, namun tindakan pantas polis berjaya mengawal keadaan bagi mententeramkan kejadian tidak diingini berlaku.-K! ONLINE

The post Polis ambil keterengan bapa, kakak lelaki yang didakwa memurtadkan wanita Islam appeared first on Kosmo Digital.