Polis ambil keterangan bapa, kakak suspek murtadkan wanita

JOHOR BAHRU: Polis sudah mengambil keterangan bapa dan kakak kepada suspek lelaki berhubung kes memurtadkan seorang wanita Islam yang tular dalam media sosial, minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keterangan itu diambil bagi membantu polis menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang prejudis.

Beliau berkata, buat masa ini, polis sedang mengesan lelaki berusia 29 tahun itu serta pasangannya yang dipercayai sedang bersembunyi. 

“Kalau mengikut keterangan bapa dan kakak suspek, dia sudah lama tidak berada di rumah tersebut (Johor Bahru), sama ada dia bersembunyi atau melarikan diri, kita akan dapat tahu.

“Dalam pada masa yang sama, orang awam dinasihatkan tidak mengambil tindakan undang-undang sendiri, sebaliknya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan 34 buah Toyota Hilux untuk Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis (IPK), di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Terdahulu, tular satu video berdurasi tiga minit 26 saat di media sosial membabitkan seorang lelaki bukan Islam yang mengaku telah memurtadkan seorang wanita Islam di negeri ini.

Menurut lelaki itu, cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam adalah dengan menukarkan agama mereka di negara lain terlebih dahulu seperti Indonesia, Singapura atau India.

Perkara itu menimbul kemarahan sekumpulan orang awam yang berkumpul untuk menyerbu rumah lelaki berkenaan, namun, tindakan pantas polis berjaya mengawal keadaan bagi mententeramkan kejadian tidak diingini berlaku. 

Dalam pada itu, Ayob Khan turut menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang kenyataan bersifat provokasi bagi mengelak timbulnya masalah ketegangan kaum.

“Jangan keluarkan kenyataan provokasi dan panaskan keadaan hingga boleh menimbulkan ketegangan kaum. Kita akan ambil tindakan tegas tanpa mengira siapa pun yang berbuat demikian,” tegasnya.

Dalam video berasingan, wanita yang mengaku warga Indonesia dan meninggalkan agama Islam untuk berkahwin dengan lelaki itu tampil dalam satu klip video berdurasi 3 minit 30 saat.

Wanita terbabit mendakwa dia dimurtadkan atau keluar daripada Islam di negara asalnya iaitu Indonesia dan memohon supaya dilepaskan suaminya kerana mereka mempunyai anak yang masih kecil. -UTUSAN ONLINE

The post Polis ambil keterangan bapa, kakak suspek murtadkan wanita appeared first on Utusan Digital.